Lima bulan dulu, isterinya pergi kerahmatullah.
Malam tadi, dia pula yang meninggal. Umurnya sempat cecah 55 tahun sebelum meninggal.
Imah, isterinya meninggal di hospital. Beliau mengadu sakit dada dan kemudian dimasukkan ke hospital pada hari yang sama. Beliau meninggal dalam tidur pada sebelah pagi.
Man, suami yang meninggal malam tadi mengadu sakit perut, dikejarkan ke hospital. Beliau buang-buang air selama beberapa hari. Beliau jatuh dan pengsan ketika berdaftar di kaunter. Beliau disahkan mati setengah jam kemudian.
Sebulan yang lalu, seorang tua meninggal dunia berpunca dari sakit perut dan buang-buang air. Beberapa hari sebelum meninggal, beliau memberitahu isteri supaya guna duit beliau untuk kenduri.
Pencen campur gaji tukang kebun surau bersih dua ribu. Anak perempuannya hanya menemui 1,500 dalam sebuah sampul surat. Tiada siapa yang tahu di mana ayahnya menyimpan wang. Ayahnya menyimpan wang di suatu tempat rahsia di surau?
Ayah tidak mengeluarkan belanja untuk rumah, untuk makan minum keluarga, api air. Semua belanja diuruskan oleh anak-anak yang sedang bekerja. Tanya punya tanya, rupanya ayah melabur dengan seorang yang menjalankan ‘bisnes’. Setiap bulan ayah melabur dengan orang tersebut pada suatu jumlah tertentu. Dengar dari mulut seseorang yang rapat dengan ayah, konon pada suatu peringkat pelabur akan dapat RM1 juta!
Wow!
Suatu ketika dulu, seorang ‘peniaga’ wanita menipu pelabur-pelabur dengan menjanjikan pulangan besar. Beliau kononnya berniaga di Mekah dan membela beribu lembu di Pattani!
Pelabur-pelabur yang sesetengah kerugian ratusan ribu ringgit telah menyaman wanita tersebut. Apa mereka dapat? Satu sen pun tak dapat balik. Kes berjalan sangat perlahan. Kalau saman pun adakah wanita yang tinggal gigi dengan lidah dapat pulangkan duit mereka?
Suatu ketika yang lain pula seorang wanita yang mengusahakan skim cepat kaya menipu pelabur-pelabur baru. Pelabur-pelabur gelap mata bila dengar dapat RM80 ribu hanya dengan melabur RM8 ribu. Rupa-rupanya, duit yang dilabur diraih oleh orang-orang atas. Mereka ialah dari gu atau kumpulan wanita skim cepat kaya tersebut.
Pelabur-pelabur yang datang kemudian berang kerana tidak seorang pun dari kumpulan mereka dapat mengecapi RM80 ribu. Dalam suatu pertemuan, beliau mengatakan bahawa beliau baru balik dari Bank Negara menguruskan laporan-laporan yang dibuat oleh pelabur tertentu. Pada masa yang sama beliau bangga (konon, entah ye entah tidak) kerana abangnya di Bukit Aman sedang membantu menyelesaikan masalah beliau.
Apa pelabur-pelabur dapat?
Imah, yang meninggal lima bulan dulu pernah memberitahu seorang rakan rapatnya bahawa beliau sedang mengusakan untuk mendapatkan duit dari Indonesia. Arwah tidak mengelaborasi secara lanjut. Bunyi ceritanya kemungkinan besar samada ‘harta karun’ atau berkaitan dengan ‘tuntutan harta’ tertentu. Beliau meninggal dunia tanpa sempat mematerialisasikan angan-angannya. Lima bulan kemudian, suami pula yang meninggal ketika sedang berdaftar di hospital.
Rakan-rakan Imah dan rakan suaminya menelah bahawa mereka sebenarnya mengalami penyakit tertentu tetapi mereka tidak berkongsi dengan orang lain.
Janji Allah memang pasti mengenai kematian. Apabila sampai masa, ia tidak boleh dianjakkan. Lain orang lain puncanya. Kematian ialah penamat kepada amalan-amalan dunia dan amalan untuk bekalan akhirat. Janganlah kita jemu mempertingkat taqwa serta berdoa memohon ampun atas dosa-dosa kita setiap kali lepas sholat.
Dan mengucapkan syahadatain sebelum tidur.
Herbalis Bahrain, RH (AHG)
SEMBANG-SEMBANG HERBA












