"Ya Allah, ajarkanlah kepada kami apa yang bermanafaat bagi kami, berikanlah manafaat kepada kami dengan apa yang Engkau ajarkan kepada kami dan berikanlah tambahan ilmu kepada kami. Kami memuji-Mu, ya Allah atas segala keadaan, dan kami berlindung kepada-Mu dari keadaan para penghuni neraka."
only search Sembang-sembang Herba
| ]
Share


     Baru sebentar tadi saya terdengar lagu Tepuk Amai-amai didendangkan oleh sekumpulan kanak-kanak di kaca TV. Lagu ini saya biasa nyanyikan bersama kawan-kawan ketika di sekolah rendah lebih 40 tahun dulu.
     Alunan suara utama lagu Tepuk amai-amai yang didendangkan oleh kumpulan koir ini serupa dengan alunan asal yang saya nyanyikan dulu. Walau pun saya seorang budak lelaki saya tidak malu belajar menghafal lirik lagu ini dari dari arwah emak.
     Bukan saya seorang saja budak lelaki yang boleh mendendangkan lagu ini ketika kecil. Ketika berumur 4-5 tahun, saya lihat ramai lagi budak-budak lelaki lain yang sebaya dengan saya juga mendendangkan lagu rakyat ini samada bersama ibu atau adik kakak mereka atau pun dengan rakan-rakan.
     Saya cari maksud amai-amai atau amai dalam Kamus Dewan.
     Tiada.
    Saya cari guna Google. Ada. Kalau berdasarkan Bahasa Indonesia ia bermaksud ibu. Jadi, amai-amai bermaksud ibu-ibu.
     Tidak diketahui pula kalau amai-amai ialah bahasa pelat untuk ramai-ramai.      Mungkin tidak. Orang dulu-dulu cukup handal menyusun pantun. Pembayang maksud mempunyai sebutan yang serupa dengan maksud pantun. Jadi, kemungkinan besar amai-amai bukan sebutan pelat untuk ramai-ramai.     
     Mungkin telah ada keterangan mengenai maksud amai-amai yang dilakukan oleh pakar bahasa. Saya tidak pernah mendengarnya kalau ada pun.
     Budak-budak sekarang ada yang pernah dengar ada yang tidak. Sejak kecil mungkin anak-anak zaman moden Malaysia yang dibesarkan cara moden didendangkan dengan lagu-lagu yang keluar dari TV. Lagu hiburan dendangan artis, lagu-lagu dari program kartun. Ramai kanak-kanak yang menghafal lagu-lagu kartun Jepun. Mereka hafal seolah-olah bahasa Jepun ialah bahasa rasmi keluarga mereka.
     Hujung minggu mereka mendongak tengok rancangan Jom Heboh! Nah. Setiap minggu Jom Heboh mengetengahkan artis-artis istimewa. Lagu yang didendangkan kebanyakannya sesuai untuk orang dewasa. Tidak kiralah lagu rock atau lagu irama Melayu. Lagu-lagu sebegini lebih digemari, disenangi dan dihafal oleh kanak-kanak yang baru belajar bercakap. Saya pernah lihat budak perempuan berumur 2 tahun mendendangkan lagu slow rock dengan lidah pelatnya.
     Lagu tepuk amai-amai tidak ada lagi zaman ini. Ia wujud dalam rancangan-rancangan tertentu yang kurang digemari oleh kanak-kanak. Kanak-kanak lebih gemar menonton rancangan kartun Sponge Bob atau Doraemon dari menonton rancangan-rancanganberbahasa Melayu direka khas untuk mereka. Rancangan-rancangan tersebut tidak masuk akal mereka apatah lagi untuk mengikuti dan menggemarinya.
     Anda bayangkan waktu kecil dulu betapa seronoknya saya menyanyikan lagi ini bersama arwah emak saya sambil bertepuk tangan dengan rentak tertentu. Saya tersengih-sengih dan emak pun sama.    
   Lagu rakyat ini mudah liriknya namun jelas maksudnya.

      Tepuk amai-amai
      Belalang kupu-kupu
      Tepuk ramai-ramai
      Emak upah susu

      Susu lemak manis
      Santan kelapa muda
      Adik jangan menangis
      Emak ada (atau buat) kerja
     Rangkap pertama memberitahu adik yang sama-sama menyanyi atau sedang dipujuk oleh kakaknya bahawa emak akan memberi ganjaran hanya kerana dia bertepuk tangan.
     Rangkap kedua pula ialah memujuk. Mungkin adik rasa gelisah kerana emak sibuk masih tidak pulang. Atau mungkin emak sedang buat kerja tertentu di dapur atau di luar rumah. Jadi kakak pujuk adik dengan kata janganlah menangis sebab emak sedang ada kerja.
     Kalau diteliti sungguh-sungguh, lagu ini apabila dipraktikkan antara yang terbesar impaknya kepada kanak-kanak yang mendengar ialah mereka belajar reasoning, iaitu menggunakan logik (batu) dalam memahami sesuatu situasi.     
     Susunan kata-kata pembayang maksud juga cukup indah. Dalam lagi ini ia berdasarkan fauna dan hasil dari tumbuh-tumbuhan yang biasa didapati di kampung-kampung iaitu pokok kelapa.
     Saya tertarik dengan ungkapan lemak manis. Ia kelihatan terhasil dari unglapan terakhir dari rangkap pertama ‘emak upah susu’. Budak-budak sekarang ramaikah yang tahu apa maksud lemak manis? Barangkali sangat sedikit bilangan yang tahu atau dapat menelah maksudnya. 
     Lemak manis mungkin dikaitkan dengan rasa santan kelapa muda. Santan kelapa muda memang ada dua ciri ini iaitu lemak dan manis. Rasa lemak makin ketara bergantung pada jenis kelapa dan kawasan ia ditanam.

Tepuk amai-amai
Belalang kupu-kupu
Tepuk ramai-ramai
Emak upah susu

Susu lemak manis
Santan kelapa muda
Adik jangan menangis
Emak ada kerja

     Sayu.
     Pengalaman zaman kanak-kanak banyak membantu saya dan kanak-kanak sebaya dengan saya maksud tanggung jawap terhadap keluarga dalam bentuk bantu-membantu dan kasih-sayang. Kakak bela adik sama macam emak bela.
Kakak mendodoi adik bila emak ada kerja. Kakak buat susu adik dan sua ke mulut adik.
     Kakak lap buih semuih susu yang keluar dari   
         mulut adik.
     Kakak bergurau dengan adik.  
     Kakak sengih sambil cubit mesra pipi adik.
     Kakak sengih lagi, adik pun ketawa terkekeh-
         kekeh.
     Kakak bina tali penyambung kasih yang ikhlas    
         dengan adik.
     Kakak sayang adik.
     Adik pun sama.
     Sampai bila-bila.

Herbalis Bahrain, RH (AHG)
SEMBANG-SEMBANG HERBA
www.sembangherba.blogspot.com